KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kecekapan diplomasi beliau dalam memastikan keselamatan kesemua 23 aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) terjamin dan kepulangan mereka berjalan lancar.
Presiden ABIM Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata keberhasilan diplomasi ini mencerminkan komitmen tinggi Malaysia dalam memperjuangkan prinsip kemanusiaan dan solidariti sejagat terhadap rakyat Palestin.
Beliau menyatakan pendekatan diplomasi berprinsip yang berteraskan nilai MADANI mampu mengimbangi tuntutan kemanusiaan dan keselamatan nasional dengan penuh wibawa.
Kesemua rakyat Malaysia yang ditahan rejim Zionis sejak Khamis berjaya dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada 6.45 petang waktu Malaysia sebelum tiba di Istanbul pukul 8.40 malam waktu Malaysia, semalam.
Perdana Menteri dalam siaran langsung menerusi Facebook semalam berkata proses pembebasan itu melibatkan koordinasi erat pada peringkat antarabangsa termasuk perbincangan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio dan kerajaan Jordan, serta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama-sama Utusan Khas Amerika Syarikat ke Timur Tengah Steve Witkoff.
Anwar berkata kejayaan itu juga ialah hasil rundingan beliau sendiri bersama dengan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani serta Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dan Ketua Keselamatan Negara Turkiye Dr Ibrahim Kalin.
Menurut Perdana Menteri, perancangan dan rundingan membawa pulang dan menyelamatkan mangsa tidak hanya terbatas kepada keselamatan delegasi Malaysia dan Turkiye, malah turut melibatkan aktivis dari Eropah serta negara lain.
Ahmad Fahmi berkata kejayaan diplomasi ini memperlihatkan Malaysia bukan sekadar melindungi rakyatnya, tetapi turut memainkan peranan sebagai suara moral di pentas antarabangsa dengan menegakkan keadilan, kemanusiaan dan solidariti sejagat terhadap penindasan di Palestin.
Beliau menegaskan pendekatan ini wajar dijadikan asas untuk memperkukuh diplomasi kemanusiaan Malaysia bersama-sama masyarakat sivil serantau dan dunia Islam.
Ahmad Fahmi berkata ABIM turut merakamkan penghargaan atas kerjasama erat diberikan kerajaan Türkiye, pihak berkuasa antarabangsa serta badan kemanusiaan yang terlibat dalam proses menyelamat dan rawatan para aktivis Malaysia, termasuk bantuan psikologi dan kesihatan yang diberikan sebaik tiba di Istanbul.
Selain itu, beliau berkata ABIM turut menyarankan agar Malaysia terus menjadi pusat koordinasi diplomasi kemanusiaan serantau dengan melibatkan pertubuhan masyarakat sivil dan rakan-rakan antarabangsa bagi memperkukuh jaringan advokasi, bantuan serta misi kemanusiaan di bawah panji kemanusiaan sejagat. – Bernama