KPM perkukuh aspek keselamatan sukan sekolah selepas insiden ragbi

BUKIT MERTAJAM: Kementerian Pendidikan akan memberi tumpuan kepada aspek keselamatan secara menyeluruh termasuk mempersiapkan pasukan perubatan semasa penganjuran aktiviti atau perlawanan sukan di sekolah.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata langkah itu bagi memastikan insiden kematian pelajar ketika Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Sekolah Berasrama Penuh Peringkat Kebangsaan 2025 pada Jumaat lepas tidak berulang.

Beliau menjelaskan bahawa pelajar telah diingatkan mengenai aspek kesihatan dan laporan kesihatan telah diminta daripada ibu bapa sebelum ini.

Fokus ke hadapan adalah terhadap keselamatan menyeluruh bergantung kepada jenis sukan dan persiapan pasukan perubatan dalam setiap perlawanan.

Kementerian Pendidikan juga sentiasa mengingatkan pelajar dan jurulatih tentang aspek keselamatan yang perlu diberi perhatian berterusan.

Semalam Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad mengesahkan seorang pelajar Tingkatan Empat meninggal dunia selepas rebah secara tiba-tiba.

Muhammad Fauzan Mohd Sulaiman yang berusia 16 tahun rebah ketika hendak memasuki padang bagi memulakan perlawanan separuh masa kedua dalam kejohanan tersebut.

Hasil bedah siasat oleh Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun mendapati punca kematian akibat pendarahan dalaman otot pinggul kanan.

Kes tersebut diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.

Dalam perkembangan lain Fadhlina berkata KPM masih menunggu arahan daripada Kementerian Kesihatan berhubung kewajipan pemakaian pelitup muka di sekolah.

Beliau menyatakan kesediaan KPM untuk melaksanakan apa-apa saranan atau syor daripada Kementerian Kesihatan berikutan jangkitan influenza yang dikatakan meningkat.

Sebelum ini tular dakwaan beberapa sekolah mewajibkan pelajar memakai pelitup muka bagi mengekang penularan influenza termasuk di Pulau Pinang.

Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi melaporkan kes jangkitan influenza di Pulau Pinang masih berada pada tahap terkawal. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *