KULAI: Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching menyeru semua pihak memberikan sokongan padu terhadap misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza yang disertai sukarelawan Malaysia.
Beliau berkata misi tersebut membawa mesej keamanan dan kemanusiaan untuk membantu rakyat Palestin yang berdepan kesengsaraan akibat konflik berpanjangan.
Kerajaan menghargai semangat dan keberanian para sukarelawan yang menyertai misi mulia ini untuk membantu mangsa kekejaman rejim Zionis.
“Mereka yang pergi membawa misi kemanusiaan yang sangat mulia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penutupan Program Corporate Social Responsibility Run Event – Run for The Future 2025 di Hutan Bandar Kulai.
Teo menyatakan sukarelawan telah selamat tiba di Istanbul dan akan pulang ke tanah air tidak lama lagi.
Beliau menggesa semua pihak memberi sokongan berbanding membahaskan isu berkaitan misi kemanusiaan GSF di laman sosial.
Timbalan Menteri turut menyampaikan penghargaan kepada semua agensi dan pertubuhan bukan kerajaan yang terlibat dalam menjayakan misi GSF.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Turkiye atas bantuan logistik dan diplomatik dalam memastikan keselamatan sukarelawan Malaysia.
Katanya, semangat perpaduan dan nilai kemanusiaan melalui misi flotila ini selaras dengan prinsip Malaysia MADANI.
Prinsip Malaysia MADANI menekankan kepedulian sejagat dan solidariti kemanusiaan tanpa sempadan.
Sebanyak 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi GSF dijangka tiba di tanah air seawal Isnin ini.
Mereka akan menaiki penerbangan komersial Turkish Airlines dari Lapangan Terbang Istanbul.
GSF disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti.
Misi ini juga bertujuan memecahkan sekatan Israel sambil menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza. – Bernama