SEPANG: Malaysia menyambut baik penerimaan bersyarat oleh Hamas terhadap 20 perkara yang terkandung dalam pelan damai yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perkembangan itu dilihat sebagai titik tolak ke arah pendamaian yang berkekalan untuk Palestin dan rakyatnya.
Beliau menyatakan kesyukuran kerana Hamas menerima pelan itu walaupun dengan bersyarat selepas meninjau Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara di sini hari ini.
Mohamad berkata penerimaan itu turut mencerminkan kesediaan Hamas untuk mencari jalan penyelesaian damai.
Beliau menjangkakan laluan bantuan kemanusiaan melalui Pintu Rafah dan Jambatan King Hussein akan dibuka sebaik pelan damai itu dilaksanakan.
Mohamad menyeru mana-mana pihak yang ingin menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat supaya berhubung terus dengan Wisma Putra.
Beliau menekankan bahawa urusan menghantar bantuan akan berlaku dengan cepat selepas pintu sempadan dibuka.
Hamas hari ini dilaporkan menerima sebahagian daripada rancangan gencatan senjata yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat.
Namun mereka menyatakan beberapa perkara dalam pelan berkenaan masih memerlukan rundingan lanjut.
Pelan itu antara lain merangkumi pembebasan semua tawanan Israel dalam tempoh 72 jam selepas kelulusan pelan.
Sebagai pertukaran Israel akan membebaskan ratusan tahanan Palestin dari penjara mereka.
Pelan tersebut juga menetapkan penghentian permusuhan dan pelucutan senjata semua kumpulan bersenjata di Gaza.
Ia termasuk pengunduran berperingkat Israel dari wilayah itu yang kemudiannya akan ditadbir sebuah pihak berkuasa teknokrat.
Israel mengenakan sekatan ke atas Gaza yang dihuni hampir 2.4 juta penduduk sejak hampir 18 tahun lalu.
Sekatan itu diperketatkan pada Mac apabila rejim menutup lintasan sempadan dan menyekat penghantaran makanan serta ubat-ubatan.
Tindakan tersebut mendorong krisis kebuluran di wilayah berkenaan.
Sejak Oktober 2023, hampir 66,300 penduduk Palestin terbunuh akibat serangan udara Israel.
Kebanyakan mangsa yang terbunuh adalah wanita dan kanak-kanak. – Bernama