KUALA LUMPUR: Pindaan terhadap Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 atau Akta 4 bagi memperkenalkan perlindungan 24 jam kepada pekerja di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dijadual dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata pindaan itu penting, bagi memastikan pekerja terus dilindungi di luar waktu pejabat, sejajar dengan realiti semasa memandangkan waktu kerja tidak lagi terhad kepada pejabat fizikal.
“Pindaan ini akan memastikan para pekerja kekal dilindungi selepas waktu kerja, selaras dengan perkembangan dunia pekerjaan moden yang lebih fleksibel,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh sistem keselamatan sosial yang menyeluruh untuk rakyat, khususnya golongan pekerja, selaras dengan aspirasi Malaysia sebagai peneraju global dalam keselamatan sosial.
Menurut takwim Dewan Rakyat di laman Parlimen, Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 akan bermula pada Isnin ini hingga 4 Dis.
Sim berkata dalam tempoh 2015 hingga 2025, Malaysia merekodkan peningkatan sebanyak 63 peratus dalam jumlah pekerja yang dilindungi di bawah keselamatan sosial, selain peningkatan bayaran faedah maksimum kepada orang berinsurans daripada RM2,655 pada 2015 kepada RM5,355 pada tahun ini.
Beliau berkata Malaysia kini antara sebahagian kecil negara di dunia yang meluaskan perlindungan keselamatan sosial kepada suri rumah, melalui inisiatif seperti Skim Lindung Kasih dan program i-Suri Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), yang telah memanfaatkan lebih 500,000 suri rumah setakat 2024.
Sim berkata Rang Undang-Undang Pekerja Gig yang diluluskan di Parlimen baru-baru ini, merupakan satu lagi langkah memperkukuh perlindungan kepada kumpulan pekerja gig, selaras dengan dasar Kerajaan MADANI untuk tidak meminggirkan mana-mana golongan pekerja daripada jaringan keselamatan sosial.
Sementara itu, Sim mengucapkan tahniah kepada PERKESO, KWSP, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) atas kejayaan menganjurkan Forum Keselamatan Sosial Dunia (WSSF) dan mesyuarat International Social Security Association (ISSA) di sini, baru-baru ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, yang dipilih semula sebagai Presiden ISSA bagi penggal 2026-2028, sekali gus menandakan keyakinan antarabangsa terhadap kepakaran dan komitmen Malaysia dalam bidang keselamatan sosial – Bernama