ISTANBUL: Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan pada Sabtu mendesak Israel supaya segera menghentikan serangan dan mematuhi pelan gencatan senjata Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bagi Semenanjung Gaza.
Erdogan dalam hantaran di platform media sosial X berkata respons Hamas terhadap pelan itu merupakan langkah yang membina dan penting ke arah mencapai keamanan berkekalan.
Beliau menegaskan Turkiye akan terus berusaha dengan segala upaya bagi memastikan rundingan menghasilkan keputusan terbaik untuk rakyat Palestin.
Erdogan juga menyatakan komitmen negaranya untuk merealisasikan penyelesaian dua negara yang disokong masyarakat antarabangsa.
Beliau menegaskan langkah segera perlu diambil bagi memastikan penyampaian bantuan kemanusiaan ke Gaza dan mencapai keamanan berkekalan.
Presiden Turkiye itu menyifatkan pembunuhan beramai-ramai ini sebagai gambaran memalukan yang melukai hati nurani dunia yang mesti segera dihentikan.
Hamas sebelum ini menyerahkan maklum balas rasmi terhadap pelan Trump termasuk persetujuan membebaskan semua tawanan Israel.
Mereka juga bersetuju menyerahkan jenazah mangsa serta menyerahkan pentadbiran Gaza kepada sebuah badan teknokrat Palestin yang bebas.
Pada Jumaat Trump menetapkan sehingga 6 petang waktu Washington pada Ahad untuk Hamas meluluskan pelannya.
Pelan itu antara lain bertujuan menjadikan Gaza sebagai zon bebas senjata dengan mekanisme pemerintahan peralihan.
Pelan damai itu akan dipantau secara langsung oleh Trump melalui sebuah badan antarabangsa yang ditugaskan mengawasi pelaksanaannya.
Ia termasuk pembebasan semua tawanan Israel dalam tempoh 72 jam selepas kelulusan sebagai pertukaran kepada pembebasan ratusan tahanan Palestin dari penjara Israel.
Selain itu pelan terbabit menetapkan penghentian permusuhan dan pelucutan senjata semua kumpulan bersenjata di Gaza.
Pelan itu juga merangkumi pengunduran berperingkat Israel dari wilayah Gaza yang kemudiannya akan ditadbir sebuah pihak berkuasa teknokrat.
Pihak berkuasa teknokrat tersebut akan berada di bawah seliaan badan antarabangsa diketuai Presiden Amerika Syarikat.
Israel mengenakan sekatan ke atas Gaza yang dihuni hampir 2.4 juta penduduk sejak hampir 18 tahun lalu.
Sekatan itu diperketatkan pada Mac apabila rejim menutup lintasan sempadan dan menyekat penghantaran makanan serta ubat-ubatan.
Tindakan Israel itu telah mendorong krisis kebuluran yang serius di wilayah Gaza.
Sejak Oktober 2023 hampir 66,300 penduduk Palestin terbunuh akibat serangan udara Israel.
Kebanyakan mangsa yang terbunuh dalam serangan Israel itu adalah wanita dan kanak-kanak. – Bernama-Anadolu