TEKUN Nasional salur RM1.25 bilion bantu 66,992 usahawan Sabah sejak 1998

KOTA KINABALU: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM1.25 bilion kepada 66,992 usahawan di Sabah sejak tahun 1998.

Peruntukan ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa usahawan mikro di negeri tersebut.

Daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak RM95 juta telah disalurkan kepada 1,750 usahawan Sabah bagi tahun ini sahaja.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata bantuan pembiayaan itu diharap dapat membantu usahawan memperkukuh operasi dan meluaskan pasaran perniagaan.

Beliau berharap usahawan yang menerima cek pembiayaan menggunakan peruntukan itu sewajarnya untuk mengembangkan perniagaan.

Ewon turut menggalakkan usahawan lain yang memerlukan sumber kewangan untuk menghubungi pejabat TEKUN Nasional berhampiran.

Semalam, seramai 10 usahawan Sabah telah menerima pembiayaan berjumlah RM29,000 dalam satu majlis khas.

Majlis Taklimat Pembiayaan TEKUN Nasional dan Perjumpaan Usahawan tersebut berlangsung di Dewan Gopog, Tanginambur, Kota Belud.

TEKUN Nasional menyasarkan untuk membantu 40,300 usahawan mikro di seluruh negara tahun ini melalui peruntukan RM330 juta.

Peruntukan ini termasuk RM150 juta yang diperuntukkan khusus untuk 5,300 usahawan di Sabah.

Sejak beroperasi 27 tahun lalu, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan perniagaan bernilai RM10.76 bilion kepada 606,049 usahawan di seluruh negara. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *