AKPK lancar Siri BUDI tingkat celik kewangan rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melancarkan Siri BUDI, sebuah panduan kewangan dalam Bahasa Malaysia yang terdiri daripada empat jilid untuk memperkukuh pengurusan kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia, daripada golongan belia hingga usia persaraan.

AKPK menjelaskan panduan itu bukan sahaja bertujuan mengajar pengurusan wang malah juga untuk memupuk disiplin, daya tahan dan maruah dalam kehidupan seharian.

Agensi itu telah melancarkan siri GROW, iaitu panduan kewangan empat jilid dalam Bahasa Inggeris yang menerima pujian kerana memperkenalkan literasi kewangan melibatkan pencapaian utama dalam kehidupan awal tahun ini.

Siri BUDI merupakan satu penciptaan semula terjemahan dalam Bahasa Malaysia namun mengekalkan inti pati ketika disampaikan melalui bahasa, simbol dan semangat Malaysia.

Majlis pelancarannya berlangsung di Persidangan “Financial Independence & Thriving Families (F.I.T. Life)” 2025 di sini, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AKPK Azaddin Ngah Tasir berkata perbincangan mengenai simpanan, perancangan dan daya tahan bukan sekadar nasihat kewangan, malah turut melibatkan usaha memperkukuh institusi keluarga dan masyarakat.

Beliau menekankan Siri BUDI menekankan wang bukan sesuatu yang bersifat neutral dengan setiap keputusan sama ada untuk menyimpan atau berbelanja mencerminkan nilai yang lebih besar.

Siri BUDI yang mengandungi empat jilid memberi fokus kepada pelajar dan belia, golongan profesional muda, keluarga dan pesara.

Setiap jilid mengetengahkan langkah praktikal seperti menyimpan sejak awal, mengimbangi cita-cita dengan kemampanan, mengurus sumber isi rumah dan merancang persaraan.

Bekas Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Maybank Datuk Nora Abd Manaf berkata mereka yang berdepan kesukaran kewangan tidak memerlukan simpati atau hukuman, tetapi alat dan peluang yang dapat mengembalikan kebebasan serta harga diri.

Beliau menegaskan tiada siapa yang membina daya tahan secara bersendirian dengan kita semua memerlukan persekitaran dan komuniti yang menyokong serta menjadikan panduan kewangan yang kukuh mudah diakses setiap orang.

Dr Mohd Hannan Yusof berkata perbelanjaan tanpa nilai hanya akan menimbulkan keresahan, manakala perbelanjaan yang berasaskan pengetahuan akan mengukuhkan kewangan dan kesejahteraan.

Beliau menekankan pentingnya dikelilingi oleh individu yang memberi nasihat kewangan yang baik kerana bimbingan yang tepat membina keyakinan dan daya tahan.

AKPK yang ditubuhkan pada 2006 menyediakan pendidikan kewangan, kaunseling serta perkhidmatan pengurusan hutang kepada individu dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *