KUALA LUMPUR: Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) mengharapkan Belanjawan 2026 akan turut merangkumi pengumuman strategik untuk membiayai usaha penting yang menyokong agenda Jenama Malaysia.
Presiden MSIA Datuk Seri Wong Siew Hai berkata strategi itu selaras dengan usaha memperkukuh kelebihan daya saing negara dan memajukan matlamat Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).
Beliau berkata pengumuman itu akan menggalakkan syarikat untuk maju melangkaui penyelidikan dan pembangunan, pengkomersialan dan inovasi, sekali gus membolehkan Malaysia memberi impak sebenar dunia dan membina kapasiti daya saing global.
Wong menyatakan Belanjawan 2026 merupakan peluang keemasan untuk Malaysia beralih daripada Buatan Malaysia kepada Jenama Malaysia.
Beliau menegaskan dengan memberikan pelepasan kos bersasar, insentif bakat dan sokongan lebih kukuh kepada penyelidikan, pembangunan, pengkomersilan dan inovasi, negara boleh mempercepat pelaksanaan NSS dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai kuasa besar semikonduktor dunia.
Wong berkata kerajaan perlu terus menambah baik aspek memudahkan urusan menjalankan perniagaan dengan memastikan kelulusan lebih pantas untuk insentif pelaburan.
Kerajaan juga sewajarnya mengemaskinikan rangka kerja Gudang Pengilangan Berlesan untuk merangkumi firma penyelidikan dan pembangunan serta reka bentuk di samping memudahkan pergerakan bahan antara entiti yang berbeza dalam lingkungan GPB dan Zon Perindustrian Bebas.
Industri juga mahu proses Perakuan Siap dan Pematuhan dipermudah kerana terdapat keperluan berbeza antara negeri, yang menyebabkan ketidakcekapan dan kos pematuhan lebih tinggi bagi syarikat yang melabur di seluruh negara.
Beliau menambah perlu ada perancangan untuk menaik taraf sistem Kastam di seluruh negara bagi mempercepat proses kelulusan Kastam untuk import dan eksport.
Wong berkata MSIA memohon pelepasan duti setem, termasuk pengecualian bagi kontrak pekerjaan dan antara syarikat, penangguhan dan garis panduan yang lebih jelas.
Persatuan itu juga mengharapkan pelepasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan melalui pengecualian yang lebih luas perniagaan-kepada-perniagaan, sokongan kepada industri berintensif modal, dan insentif berkaitan pelaburan untuk kecekapan tenaga dan automasi.
Beliau berkata MSIA turut berharap kerajaan akan memperkenalkan dasar untuk mempelbagaikan pasaran eksport, geran untuk daya tahan rantaian bekalan serta memperkenalkan kredit cukai boleh bayar balik yang layak untuk mengimbangi kesan cukai minimum global serta mengekalkan daya saing pelaburan Malaysia.
Industri memerlukan dana khas kerajaan untuk mempertingkatkan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik serta kecerdasan buatan di sekolah dan universiti.
MSIA juga mencadangkan tumpuan sumber kepada universiti awam sebagai pusat kecemerlangan semikonduktor bagi memastikan sumber mencukupi dan digunakan secara lebih baik untuk menyokong industri.
Wong berkata negara perlu menggalakkan lebih ramai pelajar mengikuti pengajian STEM, memperkukuh saluran bakat dengan memberikan pelepasan cukai dan insentif kepada ibu bapa pelajar STEM.
Beliau berkata industri memohon pelepasan cukai bersasar untuk jurutera terutama yang terlibat dalam reka bentuk dan pembangunan, pembuatan pintar dan peralatan canggih untuk menggalakkan dan mengekalkan bakat di Malaysia.
Wong menegaskan Malaysia perlu mencontohi negara lain dalam memanfaatkan lulusan pengajian STEM luar negara dan kepakaran global untuk mengisi kekurangan dengan segera, di samping menyokong usaha Malaysia dalam reka bentuk dan pembangunan termaju bagi kejayaan inovasi yang lebih besar.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, dijadualkan membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen pada 10 Oktober. – Bernama