23 sukarelawan Malaysia GSF dijangkakan pulang dalam 48 jam

SEPANG: Kesemua 23 peserta Malaysia Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini ditahan Israel dijangka diterbangkan dari Ashdod dalam tempoh 48 jam.

Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby menyatakan perkembangan baik itu adalah hasil usaha berterusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku penaung Sumud Nusantara dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan.

Beliau berkata SNCC menjangkakan fasa penerbangan mereka dari Ashdod akan berlaku dalam tempoh 48 jam lagi susulan usaha Perdana Menteri dan Presiden Turkiye.

Sani Araby menekankan proses rundingan diplomatik sedang berlangsung pada tahap maksimum antara Perdana Menteri dengan pimpinan Turkiye, Qatar dan Amerika Syarikat serta beberapa negara rakan strategik.

Beliau menyatakan harapan untuk menjemput peserta pulang ke Malaysia mungkin melalui Ankara atau Istanbul dalam masa terdekat.

Usaha membawa pulang rakyat Malaysia itu akan diketuai oleh kerajaan Turkiye dengan perkembangan baik dimaklumkan sendiri oleh Anwar kepada beliau pagi tadi.

Perdana Menteri bukan sahaja memberikan komitmen penuh tetapi juga memaklumkan bahawa usaha membawa pulang sedang berjalan.

Anwar sendiri telah menghubungi berkali-kali Presiden Erdogan, Presiden Qatar serta pihak Amerika Syarikat untuk memastikan pembebasan segera.

Perdana Menteri juga memberikan jaminan akan mengetuai sendiri proses terbabit dengan sokongan langsung Presiden Turkiye dan peranan aktif Kementerian Luar.

Malaysia bersama-sama Turkiye dijangka menjadi antara negara pertama yang akan membawa pulang rakyat masing-masing.

Sani Araby berharap seluruh rakyat Malaysia meneruskan doa dan melihat objektif utama misi GSF untuk mendesak perang dihentikan.

Beliau menegaskan misi GSF bertujuan menamatkan kebuluran dan membuka koridor kemanusiaan segera untuk memastikan bantuan dapat disalurkan.

Dengan doa dan sokongan semua, beliau yakin dapat memastikan keselamatan peserta serta meneruskan perjuangan untuk Palestin.

Misi GSF disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara termasuk Malaysia belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti.

Misi ini merupakan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.

Kementerian Luar sebelum ini mengesahkan kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai GSF telah ditahan Israel dan akan dihantar pulang melalui negara ketiga. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *