Dua operator maut akibat hidu gas hidrogen sulfida di Pasir Gudang

JOHOR BAHRU: Dua operator maut manakala seorang lagi masih menerima rawatan hospital selepas terhidu gas beracun di sebuah kilang pengurusan dan rawatan sisa buangan terjadual di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Johor memaklumkan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan yang menimpa tiga operator loji rawatan air sisa.

Ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan dengan dua disahkan meninggal dunia sebelum tiba di hospital manakala seorang lagi dalam keadaan stabil.

Hasil siasatan awal mendapati insiden itu dipercayai berpunca daripada pelepasan gas beracun hidrogen sulfida di salah satu sump pit loji rawatan air sisa.

Kejadian berlaku ketika mangsa bertugas pada syif 7 malam sebelum dua daripadanya ditemukan terbaring di kawasan loji sekitar 9.15 malam.

Seorang lagi mangsa rebah ketika ingin memberikan bantuan selepas mengalami sesak nafas.

Seorang pekerja lain yang menyedari situasi itu memaklumkan kepada pengurusan kilang setelah mendapati tiga rakan sekerjanya tidak sedarkan diri.

JKKP Johor telah mengeluarkan dua notis larangan dan tiga notis pembaikan berkaitan aktiviti kerja loji rawatan air sisa.

Arahan penutupan keseluruhan lokasi kemalangan di kilang itu dikeluarkan sehingga siasatan selesai dijalankan.

Jabatan memandang serius setiap kemalangan di tempat kerja dan menasihati majikan supaya lebih cakna terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerja.

Majikan turut dinasihatkan menjalankan penaksiran risiko bagi setiap aktiviti pekerjaan dan mengambil langkah kawalan sesuai.

Pada 30 September lepas, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Johor menjalankan operasi susulan insiden pencemaran bau kimia di kilang berkenaan.

Pusat Gerakan Operasi JBPM Johor menerima panggilan kecemasan pada 11.11 malam sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang digerakkan.

Pasukan bomba tiba di lokasi pada 11.16 malam tetapi maklumat terperinci mangsa tidak dapat diperoleh kerana telah dibawa pihak Kementerian Kesihatan untuk rawatan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *