Aktivis kemanusiaan Malaysia dan Brunei selamat pulang dari misi Gaza

SEPANG: Lima rakyat Malaysia dan seorang rakyat Brunei yang sebelum ini terlibat dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) selamat tiba di tanah air semalam.

Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata kesemua mereka akan memulakan tugas sukarelawan di SNCC mulai malam ini.

“Jumlah keseluruhannya adalah lapan orang, termasuk seorang aktivis Brunei. Dua daripada lapan itu sudah berada di Amman, Jordan untuk membantu pihak perundangan kita.

“Lima lagi akan masuk ke SNCC bersama dengan seorang lagi warga Brunei,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan GSF di sini hari ini.

Difahamkan, mereka mempunyai masalah kesihatan dan telah diterbangkan dari Athens, Greece ke Malaysia.

Mereka adalah Tuan Mohamad Asri Tuan Hussein, Abdul Rahim Azhari, Muhammad Khairin Afiq Mohd Subkhi, Ahmad Safuan Ujar, Nur Ilham Fansuri Zainal Rashid dan warga Brunei Rezahmaisalamah Md Yusof.

Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.

Kementerian Luar sebelum ini mengesahkan kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai GSF telah ditahan Israel dan akan dihantar pulang melalui negara ketiga.

Ditanya mengenai perkembangan mengenai keluarga aktivis yang ditahan, beliau berkata anggota keluarga mereka telah ditempatkan di sebuah hotel untuk memberikan maklumat sahih dan terkini kepada mereka.

“… kerana kami nampak agak penting untuk mereka ini menerima maklumat lebih awal. Jadi, sebelum datang ke sini (SNCC), saya singgah ke sana (hotel) dulu memaklumkan kepada pihak keluarga.

“Ini adalah kerana mereka ini ada yang sudah terkesan apabila membaca pelbagai bentuk berita. Ada berita naratifnya bagus, ada posting yang tidak cukup masak yang menyebabkan mereka tertanya-tanya,” katanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *