Arvid de Kleijn menang peringkat keenam LTdL 2025 di Port Dickson

PORT DICKSON: Pelumba pasukan Tudor Pro Cycling Arvid de Kleijn meraih kemenangan peringkat buat kali kedua dalam Le Tour de Langkawi 2025 dengan menguasai peringkat keenam dari Shah Alam ke Port Dickson.

Pelumba berusia 31 tahun dari Belanda itu mencatat masa dua jam 32 minit 55 saat sepanjang 123.5 kilometer perlumbaan.

Erlend Blikra dari Uno X Mobility berjaya menduduki tempat kedua dalam peringkat tersebut.

Manuel Penalver Aniorte dari Team Polti VisitMalta meraih kedudukan ketiga di garisan penamat.

De Kleijn menyifatkan kemenangannya sebagai pengalaman pahit manis berikutan kemalangan yang menimpa pesaingnya Matteo Malucelli.

“Saya ingin menyatakan bahawa adalah sangat malang Malucelli terlibat dalam kemalangan,” katanya selepas perlumbaan.

Beliau turut mengucapkan harapan agar Malucelli dari XDS Astana Team cepat sembuh.

Kemenangan ini mengangkat De Kleijn ke tangga kedua klasifikasi Jersi Jingga dengan 42 mata terkumpul.

Kedudukan Raja Pecut kini diterajui oleh Erlend Blikra dengan 45 mata.

Nicolya Vinokuro dari XDS Astana mengekalkan Jersi Putih sebagai Pelumba Asia Terbaik.

Patrick Eddy dari Team Picnic PostNL terus mendominasi Jersi Polka Dot sebagai Raja Bukit.

Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil dari pasukan Malaysia Pro Cycling dinobatkan sebagai Pelumba ASEAN Terbaik bagi peringkat keenam.

Perlumbaan akan bersambung dengan peringkat ketujuh dari Melaka ke Medini, Johor sejauh 214.9 kilometer.

Tiga zon pecutan telah ditetapkan di Sungai Rambai, Semerah dan Pontian untuk peringkat seterusnya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *