CYBERJAYA: Pendaftaran bagi tuntutan bayaran balik tunai syarikat bot penumpang yang layak menerima subsidi petrol RON95 akan dibuka mulai 9 Oktober ini. https://mysubsidi.kpdn.gov.my. gan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata pendaftaran boleh dibuat melalui pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my.
Langkah itu diambil bagi memastikan pengusaha bot penumpang dapat terus menyediakan perkhidmatan pengangkutan utama tanpa terbeban dengan kos operasi yang tinggi.
Kerajaan telah bersetuju memasukkan syarikat bot penumpang dalam senarai sektor pengangkutan awam yang layak menerima subsidi petrol RON95 di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi bermula 9 Oktober ini.
Dengan ini, pengusaha boleh mengemukakan tuntutan bayaran balik tunai melalui portal yang disediakan.
Hanya syarikat bot penumpang awam yang berdaftar dengan Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah atau Lembaga Sungai-Sungai Sarawak layak mengemukakan tuntutan.
Bot penumpang terbabit mestilah beroperasi di kawasan berpenduduk serta menyediakan perkhidmatan berjadual seperti laluan Kudat–Pulau Banggi.
Sebagai langkah interim, kerajaan turut bersetuju membuat pembayaran balik tunai kepada syarikat bot penumpang yang memenuhi kriteria ditetapkan bagi pembelian petrol RON95 sepanjang tempoh 30 September hingga 31 Oktober 2025.
Pengusaha perlu memuat naik dokumen sokongan seperti sijil pendaftaran perniagaan, penyata bank, bilangan bot, nombor pendaftaran bot dan kapasiti enjin.
Mereka juga perlu mengemukakan resit pembelian petrol yang sah.
Semua tuntutan lengkap akan disemak oleh agensi kawal selia pengangkutan air berkaitan serta pentadbir Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi.
Bayaran balik kemudian akan dikreditkan terus ke akaun bank syarikat.
Pembayaran balik tunai akan dibuat oleh Kementerian Kewangan dalam tempoh 15 hari bekerja selepas proses semakan selesai.
Inisiatif itu bukan sahaja meringankan beban kos operasi pengusaha bot penumpang malah menjamin kelangsungan perkhidmatan pengangkutan air.
Perkhidmatan ini menjadi nadi mobiliti rakyat di kawasan pedalaman, sungai dan kepulauan.
Kerajaan mahu memastikan rakyat terus mendapat akses pengangkutan yang selamat, berpatutan dan tidak terjejas oleh peningkatan kos bahan api.
Menurut data Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi setakat 2 Oktober 2025, sejumlah 9,712 syarikat dengan 20,713 kenderaan telah berdaftar sejak ia dibuka pada 15 September lepas.
Bagi laporan harian pada 2 Oktober sahaja, sebanyak 243 syarikat pengangkutan awam dan 288 syarikat pengangkutan darat barangan mendaftar.
Keseluruhan 531 syarikat dengan 786 kenderaan direkodkan pada hari berkenaan. – Bernama