KUALA LUMPUR: Agenda transformasi digital di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas akan menjadi pemangkin penting dalam mencapai daya saing jangka panjang negara.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata memanfaatkan kuasa teknologi kerajaan dan inovasi digital akan menambah baik penyampaian perkhidmatan awam.
Beliau menyatakan pendekatan ini akan meningkatkan produktiviti dan membina ekonomi yang lebih inklusif serta mampan.
“Ketika kita berdepan dengan landskap ekonomi yang semakin rumit pada hari ini, jelas sekali Malaysia perlu kekal tangkas dalam membentuk tindak balas dasar yang tepat pada masanya, relevan dan wajar.”
“Ini penting bukan sahaja untuk menjaga kestabilan makroekonomi, tetapi juga untuk mengukuhkan daya tahan fiskal kita, meningkatkan penjanaan hasil dan memajukan pembaharuan struktur.”
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran laporan Malaysia Economic Monitor Bank Dunia di Kuala Lumpur.
Edisi ke-31 laporan itu bertajuk “Daripada Bait kepada Manfaat: Transformasi Digital sebagai Pemangkin Produktiviti Sektor Awam.”
Laporan tersebut mengetengahkan visi RMK13 untuk transformasi digital sektor awam. – Bernama