Polis Kelantan tahan lapan suspek kes culik, rampas dua pistol

KOTA BHARU: Polis menahan lapan individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan kes culik di Pasir Puteh minggu lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata kesemua suspek berusia antara 20 hingga 46 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan di enam lokasi sekitar Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh dan Tumpat.

Beliau menyatakan mangsa berjaya diselamatkan dalam operasi yang dijalankan awal pagi semalam.

Dalam kejadian pada 26 September lepas, mangsa dikurung di sebuah rumah tidak bernombor di Cherang Ruku, Pasir Puteh.

Suspek meminta wang tebusan RM150,000 daripada majikan mangsa sebelum tangkapan dilakukan.

“Hasil risikan, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan berjaya melakukan serbuan antara 2 pagi hingga 11.30 pagi semalam,“ katanya dalam kenyataan.

Mohd Yusoff berkata polis turut merampas pelbagai barangan termasuk 15 telefon bimbit, tiga kenderaan dan seutas rantai besi.

Barangan lain yang dirampas termasuk lima mangga, pelitup muka, pengikat kabel serta pakaian yang dipakai semasa kejadian.

Polis juga merampas dua pucuk pistol iaitu jenis revolver dan satu pistol tiruan bertulis Austria.

Pengadu dalam kes ini menyerahkan wang tebusan berjumlah RM29,000 kepada suspek sebelum tangkapan dilakukan.

Kesemua suspek direman empat hari bermula semalam hingga 5 Oktober ini untuk siasatan lanjut.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 385, 342 dan 365 Kanun Keseksaan serta Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971.

Mohd Yusoff berkata siasatan masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *