Kedutaan Malaysia di Jordan pastikan perlindungan undang-undang tahanan GSF

KUALA LUMPUR: Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan telah mengadakan pertemuan dengan pasukan peguam Malaysia di Amman, Jordan bagi memastikan tahanan Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF), mendapat perlindungan undang-undang yang adil dan telus.

Kedutaan itu berkata ia sedang memantau rapat perkembangan pergerakan rakyat Malaysia dalam misi GSF, khususnya mereka yang telah ditahan oleh pihak berkuasa Israel.

Pihak Kedutaan juga turut berhubung dengan negara-negara sahabat ASEAN di Amman dan Tel Aviv bagi mendapatkan maklumat semasa berkenaan tahanan Malaysia serta menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya.

Terdahulu, Kementerian Luar memaklumkan bahawa kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai GSF bagi misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza telah ditahan Israel dan akan dihantar pulang melalui negara ketiga.

Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia, belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.

Untuk pertanyaan lanjut, rakyat Malaysia boleh merujuk kepada pegawai-pegawai Kedutaan seperti berikut: Muhd Irfan Zulkurnain di talian +962793811135 dan Nur Najihah Md Abas di talian +962790800865, atau menghantar e-mel kepada Kedutaan Besar Malaysia, Amman di amm.uhep@kln.gov.my. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *