Dua individu maut dihanyutkan air deras di Tongod

TONGOD: Dua individu maut awal pagi tadi selepas dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir di Kampung Bangkulut Imbak Timbangan Evogold Sdn Bhd di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan Hairi Otuh berkata mangsa seorang wanita warga emas warganegara Indonesia berumur 79 tahun serta seorang kanak-kanak lelaki tempatan berusia 7 tahun.

Pihak Bomba menerima panggilan MERS999 pada 9.46 malam serta tiba di lokasi berjarak 169 kilometer pada 3 pagi tadi.

Kejadian banjir berlaku di kampung itu dipercayai berpunca daripada kepala air yang datang dari hulu secara mengejut.

Terdapat dua individu hanyut ketika cuba menyeberang arus limpahan air di jalan raya untuk ke kawasan tinggi bagi menyelamatkan diri.

Mangsa kanak-kanak lelaki hanyut selepas terlepas daripada genggaman ibunya manakala wanita warga emas hilang imbangan ketika melintas.

Wanita warga emas itu ditemukan pada jarak 250 meter dari lokasi dilaporkan hanyut dan kanak-kanak lelaki terbabit dijumpai 200 meter daripada mangsa pertama.

Hairi berkata operasi ditamatkan pada 5.04 pagi dan tiada operasi pemindahan mangsa banjir dilakukan berikutan air sungai surut sepenuhnya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *