Polis kesan penunggang motosikal langgar murid depan sekolah

BUKIT MERTAJAM: Polis sedang giat mengesan penunggang motosikal yang dipercayai melanggar seorang murid perempuan ketika melintas jalan di hadapan Sekolah Kebangsaan Permatang Pauh.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Helmi Aris mengesahkan telah menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan awal mendapati ia berlaku pada 30 September.

Polis telah mengesan satu video berdurasi 42 saat yang dimuat naik pemilik akaun Facebook memaparkan rakaman kamera litar tertutup kejadian kemalangan jalan raya di hadapan sekolah tersebut.

Kejadian dipercayai berlaku ketika waktu pulang sekolah melibatkan seorang murid perempuan berusia lapan tahun yang sedang melintas jalan bersama rakannya sebelum dilanggar oleh sebuah motosikal.

Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian buku lali kiri dan telah menerima rawatan.

Helmi berkata polis masih berusaha mengesan penunggang motosikal terbabit dan memohon saksi awam yang mempunyai maklumat supaya tampil ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah.

Mereka juga boleh menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Ahmad Azrol Md Rejab menerusi talian 019-5429571.

Kes berkenaan disiasat di bawah kesalahan Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959.

Beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati terutama ketika melalui kawasan sekolah dan mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan bersama. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *