IPOH: Polis Perak menahan seorang lagi suspek yang disyaki terlibat dalam insiden seorang lelaki maut tertembak di Batu Caves, Selangor pada hari Isnin lepas.
Penangkapan terbaru ini menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan dalam kes tersebut seramai empat orang.
Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin menyatakan suspek berusia 50 tahun itu ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian sekitar pukul 4.30 petang hari Selasa lepas.
Beliau memberitahu suspek tersebut tidak mempunyai rekod kesalahan lampau tetapi didapati positif dadah.
Polis juga merampas sebuah telefon bimbit dan suspek kini direman sehingga 7 Oktober untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Noor Hisam berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis meraikan 115 pesara dan bakal pesara Polis Kontinjen Perak Tahun 2025 di Mes Pegawai Kanan Polis di Jalan Sultan Azlan Shah.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan keputusan hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa berusia 43 tahun itu akibat luka tembakan di dada.
Sebelum ini, Noor Hisam mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki pada pukul 3.55 pagi hari Isnin lepas di Kampung Selamat, Semanggol berhampiran Bagan Serai.
Siasatan mendapati mangsa dipercayai tertembak di kawasan Batu Caves sebelum mayatnya ditemui.
Susulan itu, dua lelaki berusia 32 dan 33 tahun telah ditahan di Kampung Selamat dengan seorang daripadanya mempunyai pertalian saudara dengan mangsa.
Seorang lagi suspek berusia 36 tahun ditahan di kawasan Batu Caves sebelum penangkapan suspek keempat. – Bernama