PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan kes seorang penganggur yang dihukum penjara 30 tahun dan 24 sebatan selepas mengaku bersalah mengedar dan memiliki pelbagai jenis dadah, dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan semula.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Azman Abdullah, sebulat suara memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Zowie Choong Kim Liang, 45, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 11 Jan 2024, yang menjatuhkan hukuman itu terhadapnya.
“Kami bersetuju dan memerintahkan kes ini dibatalkan sabitan dan hukuman. Oleh itu, kes ini dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk dibicarakan semula, di hadapan hakim berlainan.
“Mahkamah tetapkan 7 Okt ini untuk sebutan di Mahkamah Tinggi (Shah Alam),” kata Hakim Azman yang bersidang bersama Hakim Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid.
Choong merayu terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan bagi setiap empat pertuduhan mengedar dadah dan penjara tiga tahun bagi dua pertuduhan memiliki dadah, selepas tertuduh mengaku bersalah di awal perbicaraan peringkat pendakwaan.
Mahkamah itu memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada 19 Ogos 2019.
Choong mengaku bersalah atas empat pertuduhan mengedar dadah iaitu 116.72 gram Methylenedioxymethamphetamine (MDMA), kanabis (1204.7 gram), 806.95 gram Methamphetamine dan 119.98 gram Para-methoxymethylamphetamine (PMMA), di sebuah unit pangsapuri di Petaling Jaya pada 7.45 malam, 19 Ogos 2019.
Pertuduhan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan juga disebat tidak kurang 15 sebatan, jika tidak dhukum mati.
Dia turut mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki 4.12 gram ketamin dan 1.156 gram Nimetazipam pada tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda hingga RM100,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu, peguam Kee Wei Lon, yang mewakili Choong berhujah bahawa semasa fakta kes dibacakan dan diterangkan kepada perayu, ia dibuat oleh jurubahasa mahkamah tanpa kehadiran hakim yang bertentangan dengan undang-undang selepas pengakuan salah tertuduh diambil.
“Oleh itu, pihak merayu memohon supaya keputusan Mahkamah Tinggi diketepikan dan kes berkenaan dikembalikan untuk dibicarakan di hadapan hakim baharu,” kata Kee yang mengendalikan kes bersama Siti Summaiyah Ahmad Jaafar dan Ee Gen You.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nik Mohd Fadli Nik Azlan berkata pihaknya tidak membantah terhadap rayuan oleh perayu dan mohon kes itu dibicarakan semula- Bernama