KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan Malaysia tidak akan berkompromi dengan tindakan zalim rejim Zionis terhadap misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla.
Beliau mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera Israel memintas kapal GSF yang sedang menghampiri Gaza dan menahan aktivis terlibat.
Fadillah menegaskan keselamatan rakyat Malaysia yang menyertai misi itu menjadi keutamaan kerajaan.
“Seperti ditegaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia akan menggunakan segala saluran sah dan diplomatik bagi memastikan Israel dipertanggungjawabkan, khususnya apabila keselamatan rakyat Malaysia terlibat,“ katanya menerusi hantaran Facebook.
Beliau berkata dunia sekali lagi menyaksikan wajah sebenar Israel, sebuah rejim penjajah yang tidak menghormati undang-undang dan nyawa.
Fadillah menegaskan Israel sanggup menindas misi kemanusiaan yang membawa sukarelawan dan bekalan penting untuk rakyat Palestin yang kini berdepan intimidasi, kekerasan dan paksaan.
Beliau menegaskan misi itu bukan sahaja membawa bantuan, tetapi juga simbol solidariti, kasih sayang dan harapan dunia terhadap Palestin.
“Tindakan Israel bukan sahaja kezaliman terhadap rakyat Gaza, malah penghinaan terhadap suara kemanusiaan sejagat,“ katanya.
Fadillah menambah kerajaan akan terus tegas bersuara di peringkat antarabangsa, mendesak agar keadilan ditegakkan dan hak rakyat Palestin dikembalikan.
“Kemanusiaan tidak boleh dijadikan tebusan. Malaysia berdiri teguh bersama Palestin, sehingga keadilan dan kebebasan menjadi milik mereka,“ tambahnya.
Setakat 7.50 pagi waktu Malaysia, sebanyak 17 rakyat Malaysia dilaporkan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara selepas kapal mereka dipintas tentera Israel.
Mereka termasuk penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah, yang menaiki kapal Hio.
Nurfarahin Romli dan Danish Nazran Murad menaiki kapal Grande Blu manakala penyanyi Zizi Kirana berada di kapal Huga.
Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil menaiki kapal Alma manakala Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli berada di kapal Sirius.
Perdana Menteri menerusi hantaran di media sosial memaklumkan beliau dan pasukannya sedang giat berhubung dengan pihak berkepentingan, termasuk melalui saluran diplomatik.
Anwar Ibrahim berusaha memastikan sukarelawan serta aktivis dari Malaysia, ASEAN dan antarabangsa yang menyertai misi GSF dibebaskan segera. – Bernama