Masjid JAKIM, JAWI diarah adakan solat hajat, Qunut Nazilah

PUTRAJAYA: Semua masjid dan surau di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diarah mengadakan solat hajat dan bacaan Qunut Nazilah bermula malam ini dan esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyatakan arahan ini dibuat susulan tindakan Israel memintas kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.

Beliau menjelaskan solat hajat dan bacaan Qunut Nazilah akan dilaksanakan selepas solat maghrib malam ini serta esok selepas solat Jumaat.

Khutbah Jumaat khas mengenai isu Palestin juga akan disampaikan di semua masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan.

“Saya mengesyorkan kepada semua masjid dan surau Jumaat di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam negeri-negeri turut mengambil langkah yang sama.”

“Ayuh kita semua mendoakan keselamatan dan perlindungan kepada pasukan Global Sumud Flotilla khususnya untuk rakyat Malaysia yang terlibat selain mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin.”

GSF yang membawa bantuan kemanusiaan untuk Gaza dilaporkan dipintas dan dihalang oleh Israel di perairan antarabangsa.

Setakat 7.50 pagi waktu Malaysia, sebanyak 12 rakyat Malaysia ditahan dan lima lagi dilaporkan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) selepas kapal mereka dipintas. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *