KUALA LUMPUR: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah membatalkan Lesen Pengendali syarikat lori yang terlibat dalam kemalangan maut di Plaza Tol Bukit Kajang berkuat kuasa hari ini.
Siasatan APAD mendapati syarikat tersebut gagal memastikan pemasangan Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) pada lori berkenaan dan tidak mengutamakan keselamatan pengguna jalan raya lain.
Pembatalan lesen itu dilaksanakan selaras dengan peruntukan mengikut Seksyen 62 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
Dengan terbatalnya Lesen Pengendali, syarikat itu tidak lagi dibenarkan mengendalikan atau mengadakan sebarang perkhidmatan menggunakan mana-mana kenderaan yang dilesenkan di bawah lesen tersebut.
APAD bertegas tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kesalahan pemanduan kenderaan pengangkutan awam darat secara berbahaya yang boleh mengakibatkan kemalangan dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
Agensi itu turut mengingatkan semua pengendali berlesen agar sentiasa mematuhi syarat yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian yang boleh mengakibatkan Lesen Pengendali mereka dibatalkan.
Pada Sabtu lepas, kemalangan melibatkan sebuah lori yang dipercayai mengalami masalah brek, sebuah kereta dan dua kenderaan utiliti sukan telah mengakibatkan kematian seorang bayi lelaki berusia setahun manakala tujuh individu cedera. – Bernama