Aktivis Malaysia kongsikan detik cemas sebelum ditahan tentera Israel

KUALA LUMPUR: Beberapa aktivis Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla sempat merakam dan berkongsi video detik cemas semasa kapal mereka dipintas tentera Israel.

Pempengaruh Nurfarahin Romli yang lebih dikenali sebagai Farah Lee menghantar mesej suara menceritakan saat genting ketika kapal Grande Blu yang dinaikinya diserang dengan meriam air tekanan tinggi.

“Mula-mula mereka sembur sedikit dan beri amaran supaya kapal kami berhenti tetapi kami teruskan sebab misi kami menuju ke Gaza.”

“Akhirnya mereka sembur air sangat kuat dan kami semua terpelanting,“ katanya dalam rakaman suara yang dimuat naik menerusi laman Instagramnya.

Farah Lee turut memaklumkan tentera Israel memberi amaran keras agar kapal mereka berpatah balik atau belayar ke Israel jika tidak mahu berdepan tindakan lebih agresif.

Beliau antara seorang daripada 12 peserta Malaysia yang dilaporkan ditahan oleh tentera Israel semasa dalam misi pelayaran ke Gaza setakat 7.50 pagi.

Turut ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio serta penyanyi Zizi Kirana di atas kapal Huga.

Lima lagi rakyat Malaysia dilaporkan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara termasuk pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin yang menaiki kapal Mikeno.

Nurul Hidayah yang lebih dikenali sebagai Ardell Aryana sempat membuat penstriman langsung melalui TikTok sebelum terputus hubungan.

Beliau memaklumkan kapal yang dinaikinya diserang oleh tentera Israel menyebabkan layar belakang patah selain disembur dengan meriam air.

“Saya tidak pasti apa yang terjadi kepada rakan-rakan yang lain.”

“Jadi tolong record SOS dan buktikan kepada dunia bahawa Israel telah melanggar undang-undang.”

“Semua dalam kapal saya adalah orang awam yang berbeza negara dengan muatan susu dan air bersih untuk saudara kita di Gaza,“ katanya dengan wajah yang kelihatan cemas.

Heliza pula sempat merakam detik sebelum kapal mereka disembur dengan meriam air dengan kapten kapal meminta peserta misi bersedia untuk sebarang kemungkinan.

“Sebenarnya kami mahu berada di atas sebab inilah rakaman yang akan menjadi saksi dalam mahkamah nanti tetapi dia risau keadaan kami dan minta kami turun ke bawah,“ katanya sebelum terputus hubungan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *