Murid tahun empat maut selepas pengsan dalam tandas sekolah Seremban

SEREMBAN: Seorang murid lelaki tahun empat ditemui tidak sedarkan diri dalam tandas sebuah sekolah di sini sebelum disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 1.19 tengah hari semasa mangsa berusia 10 tahun sedang menerima rawatan awal di sebuah pusat perubatan swasta berhampiran.

Mangsa telah dihantar ke pusat perubatan oleh guru disiplin sekolah tersebut.

Doktor yang merawat kemudian mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia.

Siasatan awal mendapati mangsa dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam tandas sekolah sebelum dibawa ke pusat perubatan berkenaan.

Bedah siasat telah dijalankan di Hospital Rembau bagi menentukan punca sebenar kematian mangsa.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 507C Kanun Keseksaan.

Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung insiden tersebut.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada polis.

Beliau menegaskan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus dan komprehensif.

Kementerian Pendidikan Malaysia pada peringkat ini memberi tumpuan kepada proses psikososial serta sokongan emosi kepada murid dan guru di sekolah berkenaan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *