Anwar kecam Israel halang flotila Gaza, janji tindakan undang-undang

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel memintas Global Sumud Flotilla (GSF).

Beliau menegaskan ia menyasarkan orang awam tidak bersenjata serta kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Anwar berkata flotila yang membawa bekalan penting untuk menyelamatkan nyawa itu sebaliknya berdepan ugutan dan paksaan oleh tentera Israel.

“Dengan menghalang misi kemanusiaan, Israel menunjukkan sikap tidak hormat bukan sahaja terhadap hak rakyat Palestin, tetapi juga hati nurani dunia.”

“Flotila ini melambangkan solidariti, belas kasihan dan harapan untuk meringankan penderitaan mereka yang hidup di bawah sekatan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar menegaskan Malaysia akan menggunakan semua kaedah yang sah dan mengikut undang-undang bagi memastikan Israel dipertanggungjawabkan, khususnya berhubung keselamatan warganegara Malaysia.

“Keselamatan dan maruah rakyat kita adalah keutamaan, dan kita tidak akan membiarkan ia dikompromi sewenang-wenangnya.”

“Selagi rakyat Palestin dinafikan hak serta aspirasi asas mereka, Malaysia akan terus teguh bersama mereka.”

Beliau menambah Malaysia tidak akan berhenti menuntut keadilan serta menentang perampasan yang membelenggu Palestin sejak sekian lama.

Setakat ini, tiada laporan kecederaan diterima berikutan insiden tersebut.

Namun, delegasi GSF kekal bersemangat meneruskan misi walaupun berdepan tindakan Israel yang semakin agresif.

Sehingga 4.30 pagi waktu Malaysia, Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan tiga kapal GSF iaitu Alma, Sirius dan Adara telah dinaiki tentera laut Israel.

Ia diikuti dengan tindakan sama terhadap kapal Huga, Grande Blu dan Hio, menyebabkan kira-kira 17 sukarelawan Malaysia terputus hubungan dengan SNCC.

Sehingga 8 pagi, berdasarkan data status kapal, sebanyak 13 isyarat kecemasan berstatus tinggi telah diaktifkan semasa insiden itu. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *