Empat lagi rakyat Malaysia termasuk Heliza Helmi ditahan GSF

SEPANG: Empat lagi rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla disahkan dipintas tentera Zionis di perairan Gaza.

Mereka terdiri daripada penyanyi Heliza Helmi dan adiknya Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio.

Nurfarahin Romli dan Danish Nazran Murad yang berada di atas kapal Grande Blu turut ditahan.

Sistem pengesan Pusat Kawalan Sumud Nusantara merekodkan Grande Blu dipintas pada 12.58 tengah malam waktu Gaza.

Kapal Hio pula dipintas pada 2.34 pagi pada kedudukan kira-kira 60 batu nautika dari Gaza.

Seramai 17 rakyat Malaysia dilaporkan terputus hubungan dengan SNCC setakat 7.50 pagi waktu Malaysia.

Mereka termasuk penyanyi Zizi Kirana yang menaiki kapal Huga.

Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil yang berada di atas kapal Alma turut terputus hubungan.

Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli yang menaiki kapal Sirius juga terputus hubungan.

SNCC memaklumkan sepuluh kapal berada pada status diserang manakala 13 kapal lagi menghantar isyarat kecemasan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *