SNCC keluar amaran peringkat tinggi cubaan pintas konvoi GSF ke Gaza

SEPANG: Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) telah mengeluarkan Amaran Peringkat Tinggi mengenai cubaan memintas konvoi Global Sumud Flotila (GSF) oleh beberapa kapal dipercayai milik rejim Zionis.

Ketua Pengarah SNCC Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata SNCC telah menerima 10 laporan mengenai perkara itu daripada kapal yang membawa aktivis Malaysia.

Beliau memohon semua pihak mengikuti perkembangan terkini melalui tracker dan siaran langsung CCTV.

Difahamkan Kapal Alma yang membawa tiga rakyat Malaysia serta aktivis Greta Thunberg telah mengeluarkan amaran kecemasan warna kuning pada 7.33 malam waktu Gaza.

Seramai 23 aktivis Malaysia menyertai misi pelayaran kemanusiaan ini.

Berdasarkan rakaman siaran langsung SNCC, peserta di atas kapal memakai jaket keselamatan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Konvoi itu telah melepasi garis Zon Merah R3 dan kini menuju Zon Merah R2 iaitu kawasan berisiko tinggi untuk dipintas tentera Israel.

Kapal misi GSF dijangka memasuki Zon Merah R2 pada 4.08 pagi waktu Malaysia sekiranya tiada halangan.

Kapal tersebut membawa bekalan kemanusiaan dan aktivis antarabangsa untuk membantu penduduk Gaza.

Lebih 10 pengamal media berkumpul di SNCC bagi melaporkan perkembangan misi berkenaan.

Misi dijangka tiba di pesisiran pantai Gaza pada 6.32 petang waktu Malaysia. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *