Pemandu e-hailing sepenuh masa layak subsidi BUDI95 mulai 15 Okt

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju memberikan pemandu e-hailing sepenuh masa had kelayakan tambahan subsidi BUDI MADANI RON95 bermula 15 Oktober ini.

Kementerian Kewangan memaklumkan pemandu e-hailing tidak perlu membuat permohonan secara individu sebaliknya kerajaan akan berurusan terus dengan syarikat pengendali e-hailing bagi permohonan secara berkelompok.

Bagi pengangkutan air, kerajaan turut melanjutkan kelayakan BUDI95 kepada warganegara yang memiliki bot berdaftar tanpa memerlukan lesen memandu yang sah.

Kerajaan Persekutuan sedang bekerjasama dengan agensi kerajaan negeri berkaitan bagi mengenal pasti pemilik bot berdaftar.

Kementerian Kewangan turut memaklumkan had kelayakan subsidi RON95 sebanyak 300 liter sebulan bagi setiap warganegara yang layak diperbaharui mulai hari ini.

Manfaat subsidi itu akan disalurkan pada setiap 1 haribulan.

Setakat jam 6 petang ini, pembelian petrol RON95 bersubsidi menerusi sistem BUDI95 merekodkan transaksi berjumlah kira-kira 84.2 juta ringgit.

Jumlah itu membabitkan lebih 42.3 juta liter petrol RON95 dengan kerajaan menyalurkan subsidi sebanyak 27.8 juta ringgit.

Sejak pelaksanaan berperingkat BUDI95 mulai 27 September lepas, lebih tiga juta pengguna telah memanfaatkan kemudahan itu.

Ia membabitkan jumlah keseluruhan transaksi petrol bersubsidi bernilai 255.6 juta ringgit bersamaan 128.4 juta liter petrol.

Subsidi berjumlah 67 juta ringgit telah disalurkan kerajaan untuk program ini.

Kerajaan MADANI kekal komited memastikan program subsidi bersasar ini berjalan lancar, telus dan memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Kementerian Kewangan bersama agensi berkaitan akan terus memantau pelaksanaan BUDI95 serta melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

BUDI95 dilaksanakan secara berperingkat sejak 27 September lepas bermula dengan 300,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

Program ini kemudian diperluas kepada lebih lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah dalam kategori B40 pada Ahad lepas.

Secara keseluruhan, seramai 16 juta rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif layak menikmati subsidi petrol RON95.

Mereka berhak membeli petrol RON95 pada harga 1.99 ringgit seliter dengan had kelayakan sehingga 300 liter sebulan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *