PUTRAJAYA: Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Timor-Leste baru-baru ini berjaya mengeratkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Timor-Leste.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyifatkan lawatan itu sebagai bersejarah memandangkan kali terakhir Perdana Menteri Malaysia melawat negara itu ialah pada 2003.
Beliau mengesahkan Malaysia selaku Pemerintah ASEAN akan menyambut kemasukan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 pada 26 Oktober.
“Ini bukan hanya lawatan prakemasukan Timor-Leste dalam ASEAN tetapi juga mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara,” kata Jurucakap Kerajaan MADANI itu.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober dengan kehadiran pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping.
Perdana Menteri mengadakan lawatan rasmi bersejarah selama dua hari ke Timor-Leste pada 23 September lepas.
Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Timor-Leste bernilai USD18.72 juta atau RM85.68 juta pada tahun 2024.
Eksport Malaysia ke Timor-Leste berjumlah USD18.37 juta manakala import dari negara itu adalah sebanyak USD0.35 juta.
Nilai perdagangan dua hala bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini mencecah USD6.65 juta.
Lebih 200 perusahaan kecil dan sederhana Malaysia aktif di Timor-Leste dalam pelbagai sektor seperti makanan dan hospitaliti.
Syarikat Malaysia juga terlibat dalam sektor peruncitan serta perkhidmatan automotif di Timor-Leste. – Bernama