SNCC sahkan cubaan intimidasi kapal Israel terhadap flotila Gaza

SEPANG: Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) mengesahkan laporan cubaan intimidasi oleh kapal tentera yang diyakini milik rejim Israel terhadap dua kapal utama Global Sumud Flotilla (GSF).

Ketua Pengarah SNCC Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata kapal tentera berkenaan bukan sahaja mengelilingi kedua-dua kapal itu tetapi juga mengganggu sistem komunikasi di atas kapal.

Beliau turut mendedahkan kewujudan aktiviti mencurigakan melibatkan kira-kira 10 dron yang terbang dalam formasi mengelilingi ruang flotila.

Sani Araby menegaskan tiada pintasan fizikal berlaku dan seluruh delegasi berada dalam keadaan selamat serta kekal berjaga-jaga.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) berkata kapal misi GSF telah memasuki Zon Kuning terakhir pada 4.20 pagi waktu Malaysia.

Flotila dijangka memasuki Zon Merah 3 bermula 9 malam waktu Malaysia hari ini.

Semua kapal pemerhati tidak akan memasuki Zon Merah mengikut perancangan yang telah ditetapkan termasuk kapal dari Tunisia dan Itali.

Siaran langsung rakaman CCTV dari atas kapal telah mula diaktifkan melalui laman rasmi www.sumudnusantara.com untuk disaksikan masyarakat dunia.

Sani Araby meminta rakyat Malaysia bersatu hati tanpa mengira bangsa, agama, dan fahaman politik untuk terus menyokong misi flotila.

Beliau berkata pihak delegasi sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan situasi kebarangkalian dipintas ketika masuk Zon Merah berdasarkan pengalaman sebelum ini.

Kita masih berada di perairan antarabangsa dan tidak melanggar apa-apa hal yang bersangkutan dengan kesalahan ataupun legal.

Kita desak untuk kepimpinan negara, kepimpinan dunia, masyarakat awam untuk menggunakan masa yang ada ini untuk terus melihat hal yang berlaku di Gaza. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *