SEPANG: Seorang lelaki warga Kemboja didenda RM900 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menggunakan kekerasan jenayah dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap dua petugas syarikat penerbangan pada 28 September lepas.
Majistret Khairatul Animah Jelani membuat keputusan itu selepas menerima pengakuan bersalah Lin Weida yang berusia 42 tahun.
Ejen pelancongan itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap pegawai keselamatan Batik Air Sheikh Muhammad Syafiq Sh Khalid di Bangunan Satelit Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 28 September lepas.
Bagi kesalahan kekerasan jenayah itu mahkamah mengenakan hukuman denda RM800 atau penjara sebulan.
Weida juga didakwa menggunakan kata-kata kesat terhadap kru kabin Batik Air Yuszai Yusof dalam penerbangan dari Hong Kong ke KLIA Terminal 1 pada hari sama.
Bagi kesalahan kata-kata kesat itu mahkamah mengenakan hukuman denda RM100 atau penjara sebulan.
Tertuduh membayar denda yang dikenakan ke atasnya bagi kedua-dua kesalahan tersebut.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim manakala tertuduh diwakili peguam M. Sivam. – Bernama