Anggota polis maut dalam kemalangan tiga kenderaan di Gerik

IPOH: Seorang anggota polis maut dalam kemalangan membabitkan dua treler dan sebuah kereta di Kilometer 85.3 Jalan Kuala Kangsar-Pengkalan Hulu dekat Kampung Tawai, Gerik awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Abdul Samad Othman berkata kejadian pada 1.50 pagi melibatkan treler membawa muatan kayu balak, treler kargo membawa baja dan kereta Toyota Vios dipandu anggota polis itu.

Beliau berkata mangsa yang berusia 42 tahun bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik.

Siasatan awal mendapati treler muatan baja dipandu lelaki berusia 23 tahun dari arah Kuala Kangsar menuju Gerik hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar bahagian tepi kanan treler muatan balak dipandu lelaki 59 tahun dari arah bertentangan.

Kemalangan itu menyebabkan treler muatan baja masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar Toyota Vios di belakang treler muatan balak.

Abdul Samad berkata pemandu treler muatan baja cedera di bahagian kepala dan dirawat di Hospital Taiping.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *