Mohamed Hashim tokoh pertahanan banyak jasa kepada negara dan ATM

KUALA LUMPUR: Allahyarham Jeneral Tun Dr Mohamed Hashim Mohd Ali yang meninggal dunia hari ini merupakan seorang tokoh pertahanan yang banyak berjasa melalui kepimpinan, khidmat bakti serta pengorbanan kepada Angkatan Tentera Malaysia dan negara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan mereka diberikan kekuatan serta ketabahan menghadapi ujian berat itu.

Beliau berkata sama-sama mendoakan agar Allah SWT mengampuni dosa Allahyarham, melimpahkan rahmat-Nya, dan menempatkan roh beliau dalam kalangan para solihin.

Mohamed Hashim merupakan adik kepada Tun Dr Siti Hasmah iaitu isteri bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Allahyarham meninggal dunia di sebuah hospital swasta pada 11.52 pagi tadi pada usia 90 tahun.

Mohamed Hashim menyertai ATM pada 1957 dengan menggalas pelbagai jawatan sebelum dilantik sebagai Panglima Tentera Darat pada 1985.

Beliau kemudian dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera kesembilan pada 1987 dan bersara pada April 1992. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *