KUALA LUMPUR: Kejayaan bersejarah sebagai wakil Malaysia pertama merangkul gelaran Jelajah Dunia di Kejohanan World Table Tennis Feeder Vientiane 2025 membakar semangat beregu wanita negara Karen Lyne dan Tee Ai Xin untuk memburu emas pada Sukan SEA 2025 di Thailand.
Karen optimis pencapaian itu mampu menamatkan kemarau emas lebih 30 tahun dalam acara berkenaan kerana jurang prestasi mereka dengan pencabar serantau semakin mengecil.
“Saya rasa prestasi kami semakin meningkat dan cabaran memang sukar namun kami akan cuba memberikan yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ketua Kontinjen Sukan SEA 2025.
Beliau menambah tahun ini mereka banyak menyertai kejohanan luar yang membantu meningkatkan prestasi.
Ai Xin turut mengakui amat gembira kerana berjaya menghadiahkan gelaran sulung Jelajah Dunia buat negara yang meningkatkan motivasi mereka untuk memburu lebih banyak kejayaan.
Jurulatih negara Beh Lee Wei menyasarkan anak buahnya membawa pulang emas pada Sukan SEA 2025.
Katanya selain acara beregu wanita saingan berpasukan lelaki dan wanita juga berpotensi menyumbang emas buat negara dari Thailand.
Pencapaian ini akan memperbaiki rekod tiga perak dan dua gangsa pada edisi lepas di Kemboja.
Pasangan beregu wanita Phua Bee Sim dan Chong Choi Thing menjadi wakil negara terakhir meraih emas pada Sukan SEA 1991 di Manila.
Sukan SEA Thailand 2025 dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Disember melibatkan tiga wilayah iaitu Bangkok Chonburi dan Songkhla. – Bernama