KUALA LUMPUR: Jaguh renang negara Khiew Hoe Yean meraih pingat gangsa dalam acara 400 meter gaya bebas lelaki di Kejohanan Akuatik Asia 2025 di Ahmedabad, India.
Hoe Yean mencatat masa 3 minit 52.69 saat di belakang perenang China Xu Haibo yang memenangi emas dengan 3:49.29 saat.
Perenang Vietnam Nguyen Huy Hoang meraih perak dengan catatan 3:51.63 saat dalam saingan di Kompleks Sukan Veer Savarkar.
Dua lagi wakil negara Lim Yin Chuen dan Phee Jinq En terlepas peluang untuk menyumbang pingat dalam acara masing-masing. Yin Chuen menamatkan saingan di tempat ketujuh acara 100 meter gaya bebas lelaki dengan catatan 51.51 saat.
Jinq En sekadar menamatkan saingan di tempat keempat acara 100 meter kuak dada wanita dengan masa 1:10.68 saat. Penerjun muda negara Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj menyumbang pingat gangsa menerusi acara 10 meter platform wanita selepas mengutip 240.10 mata.
Rakan sepasukan Nur Farisya Alia Affendi menamatkan saingan di tempat kelima dengan 205.40 mata. Pingat emas acara berkenaan dimenangi penerjun China Liu Zihan dengan 370.25 mata.
Pingat perak turut menjadi milik rakan senegara Wu Xiahan yang mengumpul 298.75 mata.
Muhammad Syafiq Puteh menamatkan saingan di tempat kelima acara 3 meter papan anjal lelaki selepas mengutip 355.05 mata.
Acara itu menyaksikan wakil China Tai Xiaohu meraih emas dengan 455.25 mata. Pingat perak menjadi milik rakan sepasukan Lin Hengnuo dengan 432.45 mata.
Vyacheslav Kachanov dari Uzbekistan membawa pulang gangsa selepas mengumpul 368.85 mata. – Bernama