PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperkasa peranannya sebagai agensi penguat kuasa utama membanteras rasuah dan salah guna kuasa sempena ulang tahun penubuhannya ke-58.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata agensi itu mengambil langkah proaktif memperkasakan pegawai dengan latihan terkini terutama dalam aspek forensik siasatan.
“Latihan ini turut melibatkan kumpulan profesional serta pegawai penguat kuasa agensi lain di negara ini bagi meningkatkan pengetahuan, mengukuhkan tatakelola dan mengalakkan integriti di agensi masing-masing menerusi perkongsian kepakaran,” katanya dalam temu bual khas di Ibu Pejabat SPRM.
Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) telah diberi tanggungjawab menyediakan aspek latihan dalaman serta luaran termasuk pertukaran kepakaran dengan agensi dalam dan luar negara.
SPRM juga memeterai Memorandum Persefahaman dengan The Malaysian Institute of Chartered Secretaries and Administrators (MAICSA) dan Asia e University.
Sebanyak 517 pegawai SPRM telah menerima akreditasi daripada dua program bersama Nottingham Trent University sejak 2017 hingga kini.
Negara mengalami ketirisan besar akibat rasuah, salah guna kuasa dan penipuan dengan anggaran kerugian RM277 bilion dalam tempoh enam tahun lepas.
Antara punca utama ketirisan itu ialah kelemahan dalam sistem perolehan kerajaan, khususnya manipulasi tender yang melibatkan kerjasama pihak berkuasa dengan kontraktor.
SPRM menyokong pelaksanaan Akta Perolehan Kerajaan 2025, khususnya peruntukan mengenai deklarasi pemilikan benefisial.
Sejak 1 Januari hingga 31 Julai 2024, sebanyak 728 kertas siasatan dibuka termasuk 109 kes berprofil tinggi dan 619 kes kategori biasa.
Kes membabitkan agensi swasta merekodkan jumlah tertinggi iaitu 280 kertas siasatan, diikuti pegawai kerajaan persekutuan (198), orang awam (104), kerajaan negeri (95), badan berkanun (38) serta syarikat berkaitan kerajaan dan politik (13).
Dari segi pecahan kesalahan, tuntutan palsu mencatatkan 251 kertas siasatan, terima rasuah (239), salah guna jawatan atau kedudukan (89), pengubahan wang haram (54), beri rasuah (47) dan lain-lain (48).
Sebanyak 906 individu ditangkap dalam tempoh itu, dengan 308 daripada mereka didakwa di mahkamah dan 135 sabitan telah diperoleh.
Bagi tempoh 1 Januari hingga 29 Ogos 2024, sebanyak RM6.81 bilion aset berjaya disita, RM31.71 juta dibekukan dan RM5.73 juta dilucut hak.
SPRM kini memberi fokus kepada siasatan kes berskala besar, berprofil tinggi dan melibatkan sindiket berbanding kes kecil sebelumnya.
“SPRM tidak pernah menutup sebarang kes, malah ada kes yang dibuka semula selepas menerima maklumat tambahan terbaharu,” tegas Azam Baki.
SPRM kini menumpukan kepada pemulihan aset hasil jenayah rasuah menerusi cadangan kerajaan untuk melaksanakan undang-undang Perjanjian Pendakwaan Tertangguh (DPA).
Jawatankuasa Tatakelola Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri telah bersetuju supaya rang undang-undang berkaitan DPA dibentangkan pada sesi pertama Parlimen tahun depan.
“Undang-undang ini telah diamalkan di negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Singapura, yang membolehkan sesuatu pendakwaan ditangguhkan dengan syarat pihak bertanggungjawab bersetuju untuk memulangkan aset atau menanggung kerugian yang berlaku,” jelasnya.
SPRM sedang membangunkan sistem berasaskan digitalisasi dan kecerdasan buatan yang mampu menapis pemohon tender bagi memastikan proses perolehan lebih telus dan mengurangkan campur tangan manusia. – Bernama