KUALA LUMPUR: Inisiatif subsidi petrol BUDI95 mengukuhkan pengagihan pendapatan dan boleh meningkatkan kesaksamaan perkongsian sumber negara sebanyak lima hingga 10 peratus.
Pengarah firma penyelidikan IPPFA Sdn Bhd yang juga pakar ekonomi negara Mohd Sedek Jantan berkata matlamat ini boleh dicapai dengan beralih daripada subsidi regresif kepada rangka kerja progresif.
Mekanisme BUDI95 yang menyepadukan MyKad dengan pangkalan data kerajaan memudahkan penyasaran yang lebih tepat kepada khalayak penerima.
Ini mengukuhkan penyatuan fiskal dengan mengurangkan ketirisan dan meluaskan ruang fiskal untuk perbelanjaan yang lebih produktif.
Mohd Sedek berkata dalam jangka sederhana BUDI95 dijangka membantu menstabilkan kos pengangkutan yang merupakan faktor utama mempengaruhi indeks harga pengguna dan pengeluar.
Dengan mengurangkan ketidaktentuan dalam perbelanjaan petrol skim itu berkemungkinan dapat mengekalkan kuasa beli isi rumah dan meningkatkan pendapatan boleh guna sebenar.
Beliau mencadangkan agar kerajaan menyepadukan skim itu ke dalam identiti digital yang lebih luas dan ekosistem pembayaran dengan menghubungkan MyDigital ID kepada peruntukan subsidi.
BUDI95 juga boleh dipautkan kepada perkhidmatan seperti pengecualian tol pembayaran saman trafik atau pembaharuan lesen.
Penganalisis ekonomi Putra Business School Profesor madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata inisiatif BUDI95 membolehkan pengguna menjimatkan kos pengangkutan.
Bagaimanapun beliau berkata risiko program itu terletak pada cabaran teknologi menggunakan MyKad yang cipnya tidak berfungsi.
Terdapat kemungkinan sesetengah individu mungkin menjual kuota bahan api yang tidak digunakan kepada individu lain dan menyeludupnya ke negara jiran.
Pangkalan data sistem pangkalan data pusat negara perlu dikemas kini supaya kerajaan dapat memadankan MyKad dengan bilangan dan jenis kenderaan.
BUDI95 dilaksanakan mulai 30 September 2025 melibatkan 16 juta rakyat Malaysia yang memiliki MyKad dan lesen memandu yang sah.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan merujuk di bahagian Soalan Lazim di portal rasmi BUDI95 atau menghubungi talian bantuan – Bernama