Kerajaan bantu ahli keluarga delegasi GSF pastikan kebajikan terbela – PM Anwar

SEPANG: Kerajaan akan menyalurkan bantuan kepada ahli keluarga 34 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla ke Gaza bagi memastikan kebajikan mereka sentiasa terbela.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan membantu delegasi serta setiap ahli keluarga mereka bagi memastikan tiada sebarang masalah dihadapi sepanjang misi kemanusiaan itu.

Anwar berkata sebagai penaung Sumud Nusantara, beliau turut menzahirkan rasa kagum terhadap semangat juang ditunjukkan semua delegasi Malaysia yang menyertai GSF dalam usaha menyampaikan bantuan kepada rakyat Palestin.

“Insya-Allah, bagi pihak kerajaan kita akan terus bantu saudara apa yang tidak cukup dan juga ahli keluarga di sini (Malaysia),“ katanya.

“Saya tidak mahu keluarga berasa resah, sukar dan sebagainya dalam menghadapi beberapa masalah. Jadi, kita akan menghulurkan bantuan kepada mereka serta kepada saudara (delegasi).”

Anwar berkata demikian ketika sesi interaksi secara telesidang dengan 34 rakyat Malaysia yang menyertai GSF ke Gaza, di Sumud Nusantara Command Centre di Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia Central Warehouse di sini hari ini.

Beliau berkata kekuatan 34 rakyat Malaysia yang menyertai GSF disifatkan sebagai luar biasa sekali gus menjadi sejarah dalam usaha menegakkan keadilan dan membela nasib rakyat Palestin.

“Jadi, hari-hari (misi GSF) ini mencabar dan seperti yang kita tahu, (Israel) boleh mengugut dan menyerang, tetapi kalau semangat itu kental, kekuatan itu (akan jadi) luar biasa,“ katanya.

Anwar turut mendoakan supaya misi itu berjaya bagi memecahkan tembok kezaliman dan keganasan Israel di Palestin.

Beliau juga sentiasa menghubungi pemimpin dan rakan-rakan luar negara agar menjadikan misi GSF ini sebagai keutamaan.

Terdahulu, Anwar mendapatkan perkembangan terkini mengenai kapal misi GSF daripada Ketua Pengarah SNCC Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby yang kini memasuki zon kuning tahap kedua.

Sani Araby berkata kapal GSF dijangka memasuki zon merah dalam tempoh 28 jam, iaitu kira-kira 7 malam esok.

Sebanyak 34 rakyat Malaysia menyertai misi GSF yang merupakan sebahagian aktivis dari 45 negara yang berlayar ke Gaza bagi memecahkan kepungan terhadap wilayah itu.

Flotila berkenaan sebelum ini berdepan dengan pelbagai rintangan termasuk serangan dron.

Pelayaran GSF merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan yang menggesa agar peperangan dan krisis kebuluran dihentikan selain menuntut pembukaan akses koridor kemanusiaan ke Gaza. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *