KPDN Terengganu tingkat program advokasi pastikan kelancaran BUDI95

KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu akan memperhebat program advokasi dan penerangan bagi meningkatkan kefahaman pengguna mengenai program Budi MADANI RON95 (BUDI95).

Pengarahnya Mohd Mufsi Lat berkata pihaknya dengan kerjasama pengusaha stesen minyak telah melatih dan menempatkan kakitangan bagi memberikan penerangan secara terus kepada pengguna.

Beliau berkata setakat ini proses pengisian petrol berjalan lancar dan tiada sebarang aduan diterima mengenai masalah sistem tergendala.

Namun masih ada pengguna yang keliru mengenai cara untuk mendapatkan subsidi petrol pada harga RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter.

“Semua stesen minyak di Terengganu dilihat bersedia sepenuhnya melaksanakan penggunaan sistem subsidi petrol RON95 menerusi inisiatif BUDI95,“ katanya.

“Setakat ini orang ramai memberi maklum balas positif terhadap pelaksanaan ini (BUDI95). Semua stesen minyak telah melakukan persiapan awal,“ tambah Mohd Mufsi selepas membuat tinjauan di sebuah stesen minyak di Cendering.

Selepas anggota tentera, polis dan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kategori B40, hari ini 16 juta rakyat Malaysia yang layak mula menikmati manfaat harga petrol RM1.99 seliter di bawah inisiatif BUDI95. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *