Suami isteri didakwa salah guna wang syarikat RM56,000 untuk bayar sewa rumah

KUALA TERENGGANU: Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menyalah guna wang syarikat berjumlah RM56,000 bagi membayar sewa rumah mereka pada 2021 dan 2022.

Nor Atiqah Mohamad Alwi, 36, dan suaminya Muhamad Fakhrullah Abd Rahim, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Mengikut pertuduhan, Nor Atiqah yang ketika itu pengarah A2 Wax Sdn Bhd bersama suaminya didakwa secara tidak jujur menyalah guna RM49,000 dan RM7,000 dengan mengeluarkan wang daripada akaun syarikat untuk membayar sewa premis pejabat di Puchong, Selangor, yang sebenarnya kediaman mereka.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat syarikat terbabit di sini pada 29 Ogos dan 23 November 2021 serta 31 Januari 2022.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang memperuntukkan penjara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin, selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mereka juga diarahkan melapor diri setiap bulan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terdekat serta dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 November depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Rabiatul Addawiah Mohd Noorlee dan Pegawai Pendakwa SPRM Nur Raihan Mohd Yusof.

Pasangan suami isteri tersebut diwakili peguam Abdul Rahman Ab Razak.

Sementara itu, di kamar mahkamah sama, seorang bekas Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat, Muhammad Maududi Abd Rashid, 36, didenda RM6,000 selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM2,100 dua tahun lepas.

Kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu dilakukan di sebuah bank di Jertih, antara Julai hingga September 2023.

Hakim Mohd Azhar mengenakan denda RM2,000 bagi setiap pertuduhan atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda.

Beliau menegaskan perbuatan itu boleh menjadi ‘barah’ dalam masyarakat sekiranya tidak dibendung.

Pendakwaan bagi kes itu dikendalikan Nur Raihan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *