KUALA LUMPUR: Seorang bekas pekerja kontrak didenda RM26,000 oleh dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyembunyikan wang pelaburan mata wang kripto tidak wujud.
Mah Wai Chun, 22 tahun, didenda RM14,000 atau 12 bulan penjara oleh Hakim Azrul Darus kerana menyembunyikan RM225,500 milik seorang mangsa yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya di Mont Kiara pada 7 Januari lepas.
Di mahkamah berasingan, Hakim Norma Ismail menjatuhkan denda RM12,000 atau empat bulan penjara terhadap Mah kerana menolong menyembunyikan RM140,000 milik mangsa lain yang dimasukkan ke akaun syarikat MWC Max Crest Builders Sdn Bhd.
Kesalahan kedua dilakukan di sebuah kondominium di Bukit Pantai Bangsar antara 6 dan 13 Januari lepas dengan jumlah keseluruhan wang yang disembunyikan berjumlah RM365,500.
Kedua-dua kesalahan didakwa di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum lima tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya M. Saravanan dan Batrisyia Mohd Khusri memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam dan kekerapan kesalahan dilakukan.
Mah yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda ringan dengan alasan hanya bapanya yang bekerja dan perlu menanggung dua adiknya yang masih bersekolah.
Mengikut fakta kes, seorang mangsa membuat laporan polis setelah ditipu dalam urusan pelaburan wang kripto palsu dan wang tersebut dimasukkan ke akaun bank milik tertuduh. – Bernama