PUTRAJAYA: Pihak pendakwaan bersedia meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata arahan telah dikeluarkan oleh Ketua Hakim Negara supaya pendengaran rayuan ditetapkan pada hujung November atau awal Disember.
“Pihak perayu (pendakwaan) telah bersedia dan hujahan sudah siap,“ katanya selepas prosiding pengurusan kes secara dalam talian.
Responden Syed Saddiq yang diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik memohon tarikh pendengaran ditetapkan pada Januari tetapi permohonan itu tidak dipersetujui mahkamah.
Mahkamah meminta kedua-dua pihak terutama responden untuk menulis surat sebelum menetapkan tarikh pengurusan kes baharu.
Hisyam mengesahkan perkara itu dan memaklumkan pihaknya diminta mengemukakan alasan bagi permohonan tarikh Januari menerusi surat.
Pada 25 Jun lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan serta hukuman tujuh tahun penjara, dua sebatan dan denda RM10 juta.
Sehari kemudian Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan itu dan pihak pendakwaan telah memfailkan petisyen rayuan pada 22 September.
Syed Saddiq didakwa bersubahat melakukan pecah amanah RM1 juta dana Armada di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020.
Beliau turut berdepan pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu juga dituduh melakukan dua transaksi pengubahan wang haram dengan memindahkan RM50,000 setiap satu ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya. – Bernama