Sasaran pingat emas Sukan SEA perlukan beregu lelaki terbaik – Herry Iman

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi, menegaskan Malaysia perlu menurunkan beregu terbaik jika emas menjadi sasaran pada Sukan SEA Thailand 2025 pada Disember ini.

Beliau berkata ketika ini terdapat empat pasangan negara berada dalam senarai untuk mewakili Malaysia ke temasya dwitahunan itu.

Pasangan tersebut adalah juara dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri.

“Kalau menurut saya (tunggu) sasaran dulu dari BAM apa,“ katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia.

“Kalau memang mahu pingat emas kita beri yang terbaik,“ tambah Herry Iman.

Beliau berkata lebih kurang itu pandangannya dan sedang menunggu keputusan BAM untuk sasaran bagi beregu lelaki.

Menurutnya senarai akhir pemain dijangka diputuskan minggu depan menerusi mesyuarat bersama Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky.

Herry Iman berkata hanya dua pasangan beregu akan dibawa ke Thailand mengambil kira had kuota pemain.

Had kuota pemain turut melibatkan acara berpasukan dalam temasya tersebut.

Sukan SEA Thailand 2025 dijadual berlangsung pada 9 hingga 20 Disember ini.

Temasya itu akan berlangsung di venue sekitar Bangkok, Chonburi dan Songkhla. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *