KUALA LUMPUR: Bekas pemain kebangsaan Iskandar Zulkarnain Zainuddin kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia selepas menerima tawaran sebagai Ketua Jurulatih Perseorangan Wanita di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara.
Iskandar Zulkarnain yang berusia 34 tahun mengakui faktor terbesar kepulangannya adalah hasil pujukan berterusan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan ABM Kenneth Jonassen.
Beliau menyatakan Jonassen tidak putus menghubunginya walaupun ketika itu beliau masih berkhidmat sebagai jurulatih di Ireland.
“Antara sebab utamanya ialah Jonassen kerana beliau sendiri yang hubungi dan selalu maklumkan perkembangan terkini pada saya,” katanya ketika ditemui pada hari kedua bertugas di ABM.
Dari situ beliau nampak kesungguhan Jonassen untuk membawanya kembali dan sangat menghargai perkara itu.
Mengenai perancangannya, Iskandar Zulkarnain berkata kem perseorangan wanita akan menjalani latihan intensif serta berintensiti tinggi.
Latihan ini bertujuan meningkatkan ketahanan serta kelajuan permainan pemain-pemainnya.
Beliau berkata sebanyak 17 pemain terdiri daripada sembilan perseorangan wanita utama dan lapan pemain junior menjalani latihan di bawah bimbingannya.
Penekanan diberikan terhadap skuad senior menjelang Sukan SEA di Thailand pada Disember ini.
Manakala pemain junior akan beraksi di Kejohanan Remaja Dunia minggu depan.
Pada Jun lepas, BAM mengumumkan pelantikan Iskandar Zulkarnain sebagai ketua jurulatih perseorangan wanita.
Pelantikan ini berikutan pengalaman luasnya di peringkat antarabangsa serta kemampuan dalam membentuk pemain lebih berkualiti.
Naib juara Masters Malaysia 2016 itu pernah memegang jawatan Ketua Jurulatih Perseorangan Ireland.
Beliau berjaya menunjukkan peningkatan ketara terutama dengan kejayaan dua pemain perseorangan termasuk Nhat Nguyen layak ke Sukan Olimpik Paris 2024. – Bernama