Bekas pegawai kanan SSDU bebas tuduhan guna jawatan cadang syarikat saudara

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini membebaskan bekas pegawai kanan anak syarikat milik Kerajaan Negeri Selangor daripada pertuduhan menggunakan jawatan untuk mencadangkan lantikan terus sebuah syarikat bagi kontrak bernilai lebih 1.7 juta ringgit pada Mac 2020.

Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Mazlan Mahadi yang berusia 54 tahun.

“Keterangan saksi pendakwaan kedua iaitu Mohamad Hafiz Hassan jelas menunjukkan bahawa AWS yang mencadangkan syarikat MMSC Ventures Sdn Bhd untuk projek tersebut,“ katanya.

Beliau menyatakan bahawa tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

Mazlan didakwa menggunakan jawatan sebagai Pengarah Pembangunan Perniagaan di Selangor Smart Delivery Unit Innovations Sdn Bhd untuk mencadangkan lantikan terus kepada MMSC Ventures Sdn Bhd bagi kontrak Perkhidmatan Design, Develop, Deploy and Maintain The AWS Landing Zone dengan nilai kontrak 1,797,865.58 ringgit.

Syarikat MMSC Ventures Sdn Bhd adalah milik saudaranya dengan tertuduh mempunyai kepentingan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat SSDU Innovations di Petaling pada 25 Mac 2020 mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Akta tersebut membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau 10,000 ringgit mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muaz Ahmad Khairuddin.

Mazlan diwakili peguam Datuk Seri K. Kumaraendran dan Teh See Khoon. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *