PUTRAJAYA: Seramai 10,492 anggota Polis Diraja Malaysia dan 3,000 anggota Jabatan Imigresen ditugaskan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penugasan ini bagi memastikan kesiapsiagaan keselamatan di tahap tinggi serta kelancaran di pintu masuk negara.
Beliau menyatakan persiapan sidang kemuncak yang dijangka dihadiri pemimpin utama dunia berlangsung dengan baik setakat ini.
“Persiapan telah dibuat, saya telah diberikan taklimat oleh JIM untuk pastikan kelancaran, persiapan kita cukup rapi,” katanya ketika berucap di perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri.
Saifuddin Nasution menambah terdapat enam modul latihan dan anggota dihantar mengikuti kursus di Institut Tadbiran Awam Negara.
Beliau berkata pihaknya menyediakan beberapa laluan di pintu masuk utama bagi memastikan kelancaran pergerakan delegasi dan pemimpin.
“Semua dah selesai, kita telah mengenal pasti pintu masuk laluan premier dan fast track,” katanya.
Langkah seterusnya adalah memastikan semua perancangan berjalan dengan lancar seperti yang dirancang.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan berlangsung di Kuala Lumpur dan menghimpunkan pemimpin dunia dari pelbagai negara.
Negara yang terlibat termasuk Amerika Syarikat, China, India, Australia, Kanada, Brazil, Afrika Selatan, Jepun, Korea serta negara anggota ASEAN. – Bernama