KUALA LUMPUR: Suasana di stesen-stesen minyak di sekitar ibu kota dan beberapa negeri menjadi agak meriah tengah malam ini berikutan peluasan inisiatif BUDI MADANI RON95 kepada 16 juta rakyat Malaysia.
Ramai pengguna mahu menjadi antara yang terawal menerima manfaat BUDI95 menyebabkan ada yang baru tamat kerja syif malam dan ada juga yang sengaja menunggu detik tengah malam di stesen minyak.
Tinjauan Bernama di beberapa stesen minyak mendapati proses pengisian petrol dan pengesahan transaksi berjalan dengan lancar hasil kesungguhan petugas yang bersiap sedia sejak awal malam.
Pengguna yang ditemui ternyata berpuas hati kerana kaedahnya amat mudah dengan hanya perlu membuat pengesahan menggunakan MyKad di stesen minyak.
Kemudahan itu benar-benar menyenangkan dan membuktikan komitmen kerajaan dalam melaksanakan dasar yang mesra rakyat.
Pengusaha stesen minyak di Jalan Tun Razak Wan Muhammad Hafidz berkata pihaknya telah membuat persediaan lebih seminggu bagi memastikan kelancaran pelaksanaan BUDI95 di premisnya.
Beliau berkata para pekerja dilatih untuk memberikan bantuan sekiranya pengguna menghadapi kesulitan semasa melakukan transaksi.
Sementara itu Safiyyah Affandi yang bekerja sebagai pembantu tadbir berkata proses pengisian petrol sangat mudah dan dia tidak berdepan dengan sebarang masalah.
Pendapat sama diakui Amirul Hakim pengacara media sosial yang berkata dia hanya mengambil masa kurang dua minit untuk mengisi minyak ke dalam kenderaannya.
Di Selangor Mohamad Johari Mustaffa yang ditemui di Petron Batu Tiga Shah Alam mengakui tidak menghadapi masalah menggunakan kaedah baharu untuk menikmati inisiatif BUDI95.
Bagaimanapun operator kilang berusia 23 tahun itu mengakui belum benar-benar membiasakan diri dengan penggunaan MyKad untuk menebus subsidi di stesen minyak.
Sementara itu pemandu lori I Ahrishan berkata pelaksanaan BUDI95 yang berkuat kuasa pada tengah malam ini membantunya menjimatkan perbelanjaan harian.
Di PERAK seorang pereka bentuk model mainan Oh Jee Shyan sanggup menunggu hingga detik tengah malam bagi menjadi antara yang pertama menikmati subsidi petrol RON95.
Oh yang membelanjakan kira-kira RM400 sebulan untuk petrol berkata menerusi BUDI95 dia dapat menjimatkan lebih kurang RM12 bagi setiap kali isian.
Di Negeri Sembilan seorang penjawat awam Mohd Hafiz Abdul Rahim yang berulang-alik dari Kajang ke Seremban menyifatkan inisiatif BUDI95 sangat meringankan beban kewangannya.
Pekerja hotel Sharizal Ismail berkongsi bahawa setiap bulan dia membelanjakan RM200 untuk petrol kereta dan RM200 bagi motosikal namun dengan BUDI95 perbelanjaan mungkin berkurangan antara 20 hingga 30 peratus.
Di Johor R Puspalata yang merupakan pekerja syarikat penerbangan mengungkapkan rasa syukur kerana lebihan wang hasil penjimatan BUDI95 boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas.
Pekerja sektor gig Muhammad Iqbal Mohd Nizar turut berkongsi rasa yang sama kerana inisiatif BUDI95 memberikan kelegaan kepada pekerja yang banyak bergantung pada penggunaan kenderaan harian.
Di Kelantan peniaga kuih Adenan Hussin berkata dia sanggup menunggu hingga tepat 12 tengah malam untuk merasai pengalaman menjadi antara yang terawal memperoleh manfaat BUDI95.
Di Perlis penghantar barang Muhamad Shafiq Mohamad Fauzi mengakui sengaja menunggu hingga tengah malam untuk mengisi penuh tangki motosikal Honda EX5 miliknya.
Seorang pensyarah universiti awam Shahrir Rizal Kasjoo berkata dia dapat menjimatkan kira-kira RM11 bagi mengisi kenderaan utiliti sukan miliknya.
Di Pulau Pinang tinjauan di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Utara Selatan Sungai Dua arah utara merekodkan peningkatan jumlah pengguna sejurus pelaksanaan BUDI95 bermula.
Muhammad Irfan Mohd Hafizi dari Desa Murni teruja menjadi antara pengguna terawal menikmati manfaat berkenaan.
Penuntut Universiti Tun Hussein Onn Malaysia Johor itu menyifatkan RM1.99 amat berpatutan serta membantu mengurangkan kos sara hidup terutama bagi pelajar.
Di Kedah dua pelajar Chong Yi Kent dan Cheong Phey Qi teruja menikmati inisiatif berkenaan lebih-lebih lagi sistem yang digunakan untuk pelaksanaannya juga sangat mudah.
Suri rumah Fatin Norshalihah Azman dari Alor Setar berkata dia sangat teruja untuk mengisi minyak menerusi inisiatif BUDI95 dengan kelayakan 300 liter setiap bulan.
Di Melaka suasana agak tenang dan seorang pekerja stesen minyak di Ayer Keroh Nazri Shah berkata faktor hari bekerja dan persekolahan mungkin menyebabkan ramai pengguna tidak tergesa-gesa.
Pelaksanaan BUDI95 secara berperingkat bermula pada 27 Sept lepas melibatkan kira-kira 300,000 anggota polis dan tentera sebelum diperluas kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah dalam kalangan golongan B40.
Bermula dari tengah malam ini sebanyak 16 juta rakyat Malaysia juga menikmati inisiatif BUDI95.
BUDI95 menawarkan kaedah transaksi mudah kerana hanya memerlukan MyKad atau lesen memandu sah untuk pengesahan kelayakan secara automatik.
Setiap rakyat Malaysia yang layak akan menerima siling kelayakan bulanan RON95 bersubsidi hingga 300 liter sebulan manakala pemandu e-hailing diberi pengecualian daripada siling kelayakan terbabit.
Kerajaan menyarankan orang ramai memastikan butiran pada MyKad dan lesen memandu adalah tepat bagi mengelakkan kelayakan mereka terjejas.
Semakan boleh dibuat menerusi portal rasmi BUDI95 iaitu www.budimadani.gov.my. – Bernama