Polis tumpas sindiket proses MDMA, rampas dadah RM1.7 juta

GEORGE TOWN: Polis berjaya menumpaskan sebuah sindiket yang memproses dan mengedar dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) selepas menahan dua orang lelaki termasuk seorang pakar kimia bersama rampasan bernilai RM1.7 juta dalam dua serbuan berasingan.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail menyatakan serbuan tersebut dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri antara pukul 9 malam semalam hingga 8 pagi tadi berasaskan risikan yang dijalankan sejak beberapa minggu lalu.

Dalam serbuan pertama yang diadakan di kawasan parkir kenderaan di George Town, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 27 tahun dan merampas lima paket dadah yang disyaki MDMA dengan berat 129 gram.

Susulan penahanan pertama, polis kemudian menyerbu sebuah premis di Jelutong dan menahan seorang lagi lelaki berusia 50 tahun yang dipercayai memainkan peranan sebagai pakar kimia bagi sindiket terbabit.

Pemeriksaan lanjut di premis tersebut berjaya menemui 146 paket plastik pelbagai warna mengandungi MDMA seberat 3.78 kilogram, empat botol MDMA seberat 6.21 kilogram, 100 biji pil Eramin 5, ketamin seberat 12.83 gram, 75 biji pil ekstasi serta pelbagai peralatan memproses dadah.

Sindiket itu dipercayai telah menjalankan kegiatan memproses dan mengedar MDMA sejak awal September lalu dengan kemampuan membekalkan bahan terlarang kepada kira-kira 50,000 penagih.

Siasatan mendapati sindiket tersebut memperoleh bekalan daripada rangkaian pengedaran sebelum memproses sendiri untuk pasaran tempatan termasuk di pusat hiburan.

Kedua-dua suspek yang tidak bekerja itu didapati positif untuk amphetamine, methamphetamine dan ketamin serta mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Polis turut menyita sebuah kereta jenis Proton X50 bernilai RM82,000 menjadikan jumlah keseluruhan rampasan termasuk dadah sebanyak RM1.782 juta.

Kedua-dua lelaki itu kini direman selama tujuh hari sehingga 5 Oktober bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *